Monday, January 14, 2008

MESS-NITE TEMPAT BERTEMU JODOH?

Mizy1658: Berita skot dalam "Press nite" n "Mess night" ada yang menariknya sebab ada yang sampai sekarang terus jadi pasangan bahagia dan semuanya jadi kenangan indah abadi. Inilah pengalaman hidup beb. (Nota : Komen Lt Kol Tayazi Khadir ini mendorong saya memuatkan sebahagian coretan itu dalam entry di sini.)

................Saya masih ingat, ketika dalam latihan pegawai kadet dulu, saya dan rakan pelatih lain diarah mencari pasangan untuk dibawa ke majlis berkenaan di sebuah hotel terkemuka di Jalan Sultan Ismail.

Gagal membawa pasangan bermakna gagal dalam melaksanakan misi yang diberikan. Amalan itu juga dilanjutkan di unit-unit masing-masing selepas ditauliahkan.

Ketika mula diarahkan untuk mencari pasangan itu, saya panik. Maklumlah orang kampung yang baru datang ke bandar. Tambahan lagi dengan sifat saya yang pemalu dan pendiam serta tidak ramai kawan.

Namun saya mempunyai satu strategi yang amat berkesan, malah dapat membantu rakan lain untuk mendapatkan pasangan.Saya menghubungi ketua asrama jururawat pelatih di Pusat Rawatan Universiti Malaya (dulu Hospital Universiti).

Saya memberitahu ketua asrama itu, hasrat untuk bertemu beliau bagi menjemput jururawat pelatih ke majlis makan malam yang diadakan di sebuah hotel.Sebagaimana dijanjikan saya pun datang ke asrama berkenaan untuk bertemunya.

Kedatangan saya disertai dua lagi rakan lain. Alangkah terperanjatnya saya apabila diberitahu, beliau telah menyediakan jururawat pelatih penuh sebuah bas.Namun saya menjelaskan, kami hanya perlukan empat orang sebagai pasangan untuk ke majlis berkenaan.

Selepas perbincangan, saya diperkenalkan dengan bakal pasangan saya, gadis yang paling menarik dan menawan iaitu ‘anak mami’ dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun pasangan dua lagi rakan saya dan seorang lagi rakan yang tidak hadir hanya dapat diketahui pada hari majlis itu berlangsung, iaitu ketika kami menjemput mereka di asrama nanti.

Dan apabila tiba masanya kami menjemput mereka, seorang rakan saya seperti hilang semangat setelah mendapati pasangannya seorang yang berkulit hitam legam. Antara mereka yang mendapat perkhidmatan mencari pasangan itu, ialah Lt Kol Md Din Abu dan Lt Kol Abd Rasek (sorry skot pecah lubang!).

Tidak seperti ‘press nite’, majlis ‘mess nite’ lebih teratur dan penuh protokol. Pegawai-pegawai dikehendaki memakai ‘mess-kit’ dengan baju berwarna putih, seluar hijau berjalur kuning dan berbekung merah (bagi tentera darat). Nampak segak dan garang.Ketika makan, mereka dikehendaki bertertib dan ‘jangan makan kenyang’. Cara memegang sudu dan garpu pula penuh adab dan sopan. ‘No sound!’..............
Coretan lengkap Lokman boleh diikuti dalam blog Tafadhdal

Thursday, January 10, 2008

SENIOR KITA (TJT20) JADI PANGLIMA 8 BRIGED

KOTA BAHARU, 10 Jan (Bernama) -- Pengarah Pengurusan Latihan Tentera Darat, Brig Jen Azizan Md Deli dilantik Panglima Briged Kelapan Infantri menggantikan Brig Jen Datuk Shaharudin Abu Bakar yang melanjutkan pelajaran ke United Kingdom.

Majlis penyerahan disaksikan oleh Panglima Divisyen Kedua Datuk Raja Mohamad Afandi Raja Mohd Noor pada majlis perbarisan serah terima tugas di Markas Briged Kelapan di sini, hari.

Azizan, 46, berasal dari Sungai Petani, Kedah pernah dilantik sebagai Komanden Maktab Tentera Diraja Malaysia dan Pegawai Staf Undang-undang Tentera Darat.

Ketika ditemui pemberita, Azizan berkata beliau akan meneruskan program yang dilakukan Shaharudin bagi memastikan kesinambungan rancangan briged itu berjalan lancar.

Sementara itu, Shaharudin berkata beliau akan melanjutkan pelajaran ke Royal Collage of Defence Study selama setahun dalam pengajian undang-undang ketenteraan.
Sumber : BERNAMA

Tuesday, January 8, 2008

KENAIKAN PANGKAT FADZLETTE DORONG UTUSAN TERBITKAN RENCANA MENGENAI PEGAWAI KANAN WANITA ATM



SEKALI imbas, Fadzlette Othman Merican Idris Merican kelihatan seperti wanita biasa yang memiliki keperibadian yang dipenuhi sikap lemah-lembut dan rupa paras yang menarik.

Bagi yang tidak mengenali beliau, mungkin akan beranggapan dirinya hanyalah seorang suri rumah yang ideal.

Namun, Fadzlette sebenarnya sudah 27 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mencipta sejarah selaku wanita pertama dalam sejarah Kor Perkhidmatan Am (KPA) (Perhubungan Raya) yang dipakaikan pangkat Kolonel.

Beliau juga adalah antara beberapa pegawai yang masih kekal daripada kadet-kadet wanita yang menjadi kumpulan pertama diambil untuk berkhidmat secara tetap dalam cabang darat ATM pada tahun 1980.

Penampilan dirinya yang lemah-lembut memang agak memeranjatkan banyak pihak mengenai siapa dirinya yang sebenar dan beliau sendiri mengakui hakikat tersebut.

Ketika ditemui Mega baru-baru ini, Fadzlette menceritakan bagaimana tanggapan masyarakat kepada bidang ketenteraan adalah agak berbeza dengan penampilan dirinya itu.

“Masyarakat beranggapan tentera wanita mesti bersifat seperti lelaki, ganas, berkulit gelap dan sebagainya, bila saya kata saya seorang anggota tentera, ramai yang tidak percaya.

“Persepsi orang ramai ialah kalau berjawatan Kolonel mestilah lelaki dan kedudukan senior dalam tentera dipegang oleh kaum lelaki semata-mata,” katanya.

Beliau kemudian menceritakan bagaimana adakalanya menerima panggilan daripada orang awam yang ingin bercakap dengan Kolonel Fadzlette.

“Selain persepsi bahawa pegawai tentera hanyalah lelaki, nama saya juga agak mengelirukan banyak pihak, sudah banyak kali bila saya memperkenalkan diri sebagai Kolonel Fadzlette dalam telefon, respons yang akan saya terima ialah ohh.., awak perempuan dan awak adalah seorang Kolonel,” katanya.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada September tahun lepas dan pemakaian pangkat itu secara rasmi telah dilakukan pada 2 Januari lalu oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin.

Selaku kumpulan pertama yang diambil untuk berkhidmat secara tetap, Fadzlette telah melalui pengalaman yang unik dan mungkin tidak pernah dilalui oleh pegawai atau anggota tentera wanita pada masa kini.

Katanya, menjadi kumpulan pertama pada tahun 1980, adalah satu perkara yang amat baru bagi pegawai atau jurulatih lelaki pada masa itu.

Jelasnya, pada peringkat awal, mereka terpaksa diasingkan daripada kadet lelaki dan adakalanya melakukan perbarisan sekadar lima orang dalam satu kumpulan. “Ini kerana jurulatih tidak pernah melatih kadet wanita sebelum kami,” jelasnya.

Antara perkara lain yang paling sukar untuk beliau lupakan ialah bagaimana kadet wanita seperti dirinya terpaksa memakai baju senaman yang direka khusus untuk kadet lelaki.

“Baju senaman lelaki itu memiliki banyak lubang untuk pengaliran udara yang boleh menampakkan susuk badan, kami yang wanita pun terpaksa juga pakai kerana jurulatih yang ada garang-garang belaka, kami tidak berani membantah,” katanya.

Namun jelas beliau, perkara-perkara itu hanya bersifat sementara dan ia telah diatasi oleh pihak ATM secara perlahan-perlahan.

“Masa itu sebenarnya ATM sendiri sedang melalui fasa perubahan dan penyesuaian dengan kehadiran kadet wanita,” kata beliau.

Jelas Fadzlette, selepas itu, keadaan telah banyak berubah dan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kadet-kadet lelaki sehingga adakalanya banyak pihak tidak sedar bahawa mereka adalah kadet wanita.

“Kulit menjadi gelap, rambut pendek, sikap tegas menjadikan diri kami hanya dapat dibezakan sebagai wanita ketika kami bercakap sahaja,” jelas.

Fadzlette yang kini berusia 46 tahun mempunyai tiga orang anak iaitu Syed Farid Alsagof, 21; Syarifah Farihan Alsagof, 16 dan Syed Faris Alsagof, 15.

Beliau berkahwin pada tahun 1986 dengan seorang anggota tentera ketika itu, Syed Feisal Alsagof yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

Kata Fadzlete, cita-cita awal beliau ialah untuk menjadi arkitek tetapi ayahnya yang juga seorang anggota tentera banyak mendorong agar menyertai badan beruniform itu.
“Sifat tentera sudah sebati dalam diri dan jiwa ayah saya, beliau memang terlalu inginkan jika boleh semua anak-anaknya menyertai bidang ketenteraan,” katanya.

Malah kata beliau, ayahnya adalah individu yang mengisi borang permohonan untuk memasuki tentera pada tahun 1980.

Darah ketenteraan katanya, memang mengalir kuat dalam keluarganya.

“Datuk dari sebelah ibu, Buyong Abu adalah antara 25 anak watan yang pertama menyertai Askar Melayu pada 1933, bapa mertua pun dalam tentera juga," katanya.

Menurut Fadzlette, bapa beliau amat bangga dengan kejayaan dirinya itu sehingga kini.
Menceritakan mengenai kerjanya pula, beliau berkata, Perhubungan Raya adalah satu jabatan yang amat bermakna kerana ia menjadi jambatan penghubung antara pihak tentera dan orang awam.

Selain itu katanya, jabatan itu juga telah membentuk dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang wanita yang telah banyak menyaksikan konflik dan bencana di dunia seperti di Bosnia dan Indonesia.

“Mula-mula dahulu saya hendak masuk Kor Armor, hendak bawa kereta kebal, biasalah masa itu budak-budak lagi,” katanya sambil ketawa.

Setelah 27 tahun, Fadzlette memberitahu, beliau tidak menyesal menyertai bidang tentera dan gembira melihat bagaimana ATM kini banyak memberikan peluang dan ruang kepada pembangunan kerjaya anggota dan pegawai wanita.

“Saya menggalakkan wanita menyertai ATM, keadaan kini sudah banyak berubah berbanding dahulu, ATM menyedari dan mengambil berat mengenai semua anggotanya,” jelas beliau.
Sumber : Utusan Malaysia

Wednesday, January 2, 2008

FADZLETTE KINI 'FULL COLONEL'

Skot kita, Timbalan Pengarah Perhubungan Awam Kementerian Pertahanan, Lt Kol Fadzlette Othman Merican hari ini dinaikkan pangkat sebagai Kolonel. Majlis pemakaian pangkat pegawai kanan tentera itu disertai oleh beberapa lagi pegawai lain.

Majlis yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat itu berlangsung di Kementerian Pertahanan.

Seorang wartawan daripada Jabatan Berita TV9 memberitahu, Kol Lette tidak menjemput TV9 membuat liputan majlis itu kerana segan beliau diantara pegawai yang menerima kenaikkan pangkat itu. Lette tak mahu nanti dikatakan cuba mencari publisiti. Namun TV9 yang tahu keikhlasan Lette tetap menghantar krew untuk membuat liputan majlis itu.

Pangkat yang diterimanya itu berbaloi berbanding sumbangan yang diberikan Lette dalam meningkatkan imej ATM di kaca mata masyarakat.

Nasib baik tak berhenti, Lette..... Tahniah!


Panglima Tentera Darat Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail (kiri) bersama Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin memakaikan pangkat Kolonel kepada Fadzlete. Foto : Berita Harian