(Allahyarham Mat Jo. Foto : Mej Razali) JITRA, 21 Sept -- Rejimen Sarjan Major (RSM) Pasukan Tentera Darat Malaysia yang pertama, Ahmad Mohd Alim atau lebih dikenali sebagai Pak Mat Jo meninggal dunia di Hospital Jitra hari ini.
Allahyarham Ahmad, 75, meninggal kira-kira 1.50 petang kerana sakit penat setelah dimasukkan ke hospital pada 11 pagi.
Isteri Allahyarham, Salbiah Salleh, 45, berkata suaminya telah mengadu mengalami kepenatan sebelum dibawa ke hospital.
Allahyarham menjadi RSM Tentera Darat Malaysia selama tiga tahun dari 1980 sehingga beliau bersara pada 1983.
Beliau juga merupakan RSM Maktab Tentera Diraja, Sungai Besi selama 10 tahun dari 1970.
Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Manggis, di Yan Besar, kampung asalnya pagi esok.
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang juga Anggota Parlimen Kubang Pasu, Datuk Wira Mohd Johari Baharom dan Panglima Enam Briged Brig-Jen Fadzil Mokhtar turut menziarahi jenazah Allahyarham di rumahnya di Taman Bahagia, Jitra.
-Bernama