Tuesday, January 8, 2008

KENAIKAN PANGKAT FADZLETTE DORONG UTUSAN TERBITKAN RENCANA MENGENAI PEGAWAI KANAN WANITA ATM



SEKALI imbas, Fadzlette Othman Merican Idris Merican kelihatan seperti wanita biasa yang memiliki keperibadian yang dipenuhi sikap lemah-lembut dan rupa paras yang menarik.

Bagi yang tidak mengenali beliau, mungkin akan beranggapan dirinya hanyalah seorang suri rumah yang ideal.

Namun, Fadzlette sebenarnya sudah 27 tahun berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan mencipta sejarah selaku wanita pertama dalam sejarah Kor Perkhidmatan Am (KPA) (Perhubungan Raya) yang dipakaikan pangkat Kolonel.

Beliau juga adalah antara beberapa pegawai yang masih kekal daripada kadet-kadet wanita yang menjadi kumpulan pertama diambil untuk berkhidmat secara tetap dalam cabang darat ATM pada tahun 1980.

Penampilan dirinya yang lemah-lembut memang agak memeranjatkan banyak pihak mengenai siapa dirinya yang sebenar dan beliau sendiri mengakui hakikat tersebut.

Ketika ditemui Mega baru-baru ini, Fadzlette menceritakan bagaimana tanggapan masyarakat kepada bidang ketenteraan adalah agak berbeza dengan penampilan dirinya itu.

“Masyarakat beranggapan tentera wanita mesti bersifat seperti lelaki, ganas, berkulit gelap dan sebagainya, bila saya kata saya seorang anggota tentera, ramai yang tidak percaya.

“Persepsi orang ramai ialah kalau berjawatan Kolonel mestilah lelaki dan kedudukan senior dalam tentera dipegang oleh kaum lelaki semata-mata,” katanya.

Beliau kemudian menceritakan bagaimana adakalanya menerima panggilan daripada orang awam yang ingin bercakap dengan Kolonel Fadzlette.

“Selain persepsi bahawa pegawai tentera hanyalah lelaki, nama saya juga agak mengelirukan banyak pihak, sudah banyak kali bila saya memperkenalkan diri sebagai Kolonel Fadzlette dalam telefon, respons yang akan saya terima ialah ohh.., awak perempuan dan awak adalah seorang Kolonel,” katanya.

Beliau dinaikkan pangkat sebagai Kolonel pada September tahun lepas dan pemakaian pangkat itu secara rasmi telah dilakukan pada 2 Januari lalu oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Ismail Jamaluddin dan Timbalannya, Leftenan Jeneral Datuk Masood Zainal Abidin.

Selaku kumpulan pertama yang diambil untuk berkhidmat secara tetap, Fadzlette telah melalui pengalaman yang unik dan mungkin tidak pernah dilalui oleh pegawai atau anggota tentera wanita pada masa kini.

Katanya, menjadi kumpulan pertama pada tahun 1980, adalah satu perkara yang amat baru bagi pegawai atau jurulatih lelaki pada masa itu.

Jelasnya, pada peringkat awal, mereka terpaksa diasingkan daripada kadet lelaki dan adakalanya melakukan perbarisan sekadar lima orang dalam satu kumpulan. “Ini kerana jurulatih tidak pernah melatih kadet wanita sebelum kami,” jelasnya.

Antara perkara lain yang paling sukar untuk beliau lupakan ialah bagaimana kadet wanita seperti dirinya terpaksa memakai baju senaman yang direka khusus untuk kadet lelaki.

“Baju senaman lelaki itu memiliki banyak lubang untuk pengaliran udara yang boleh menampakkan susuk badan, kami yang wanita pun terpaksa juga pakai kerana jurulatih yang ada garang-garang belaka, kami tidak berani membantah,” katanya.

Namun jelas beliau, perkara-perkara itu hanya bersifat sementara dan ia telah diatasi oleh pihak ATM secara perlahan-perlahan.

“Masa itu sebenarnya ATM sendiri sedang melalui fasa perubahan dan penyesuaian dengan kehadiran kadet wanita,” kata beliau.

Jelas Fadzlette, selepas itu, keadaan telah banyak berubah dan mereka dapat menyesuaikan diri dengan kadet-kadet lelaki sehingga adakalanya banyak pihak tidak sedar bahawa mereka adalah kadet wanita.

“Kulit menjadi gelap, rambut pendek, sikap tegas menjadikan diri kami hanya dapat dibezakan sebagai wanita ketika kami bercakap sahaja,” jelas.

Fadzlette yang kini berusia 46 tahun mempunyai tiga orang anak iaitu Syed Farid Alsagof, 21; Syarifah Farihan Alsagof, 16 dan Syed Faris Alsagof, 15.

Beliau berkahwin pada tahun 1986 dengan seorang anggota tentera ketika itu, Syed Feisal Alsagof yang kini menjalankan perniagaan sendiri.

Kata Fadzlete, cita-cita awal beliau ialah untuk menjadi arkitek tetapi ayahnya yang juga seorang anggota tentera banyak mendorong agar menyertai badan beruniform itu.
“Sifat tentera sudah sebati dalam diri dan jiwa ayah saya, beliau memang terlalu inginkan jika boleh semua anak-anaknya menyertai bidang ketenteraan,” katanya.

Malah kata beliau, ayahnya adalah individu yang mengisi borang permohonan untuk memasuki tentera pada tahun 1980.

Darah ketenteraan katanya, memang mengalir kuat dalam keluarganya.

“Datuk dari sebelah ibu, Buyong Abu adalah antara 25 anak watan yang pertama menyertai Askar Melayu pada 1933, bapa mertua pun dalam tentera juga," katanya.

Menurut Fadzlette, bapa beliau amat bangga dengan kejayaan dirinya itu sehingga kini.
Menceritakan mengenai kerjanya pula, beliau berkata, Perhubungan Raya adalah satu jabatan yang amat bermakna kerana ia menjadi jambatan penghubung antara pihak tentera dan orang awam.

Selain itu katanya, jabatan itu juga telah membentuk dirinya daripada seorang gadis biasa kepada seorang wanita yang telah banyak menyaksikan konflik dan bencana di dunia seperti di Bosnia dan Indonesia.

“Mula-mula dahulu saya hendak masuk Kor Armor, hendak bawa kereta kebal, biasalah masa itu budak-budak lagi,” katanya sambil ketawa.

Setelah 27 tahun, Fadzlette memberitahu, beliau tidak menyesal menyertai bidang tentera dan gembira melihat bagaimana ATM kini banyak memberikan peluang dan ruang kepada pembangunan kerjaya anggota dan pegawai wanita.

“Saya menggalakkan wanita menyertai ATM, keadaan kini sudah banyak berubah berbanding dahulu, ATM menyedari dan mengambil berat mengenai semua anggotanya,” jelas beliau.
Sumber : Utusan Malaysia

No comments: