Thursday, September 6, 2007

KOLONEL REDZUAN LULUS UJIAN DI PULADA

Komandan Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA), skot kita Kolonel Redzuan terpaksa bekerja keras setelah diuji dengan peristiwa kematian seorang awam di kem itu akibat letupan bom.

Tapi kerana kebijaksanaannya mengendalikan kes dan segala yang berlaku mengikut prosedur ditetapkan, segalanya berjalan dengan lancar. Panglima Tentera Darat dan Panglima Medan masing-masing berpuashati dengan penjelasan yang diberikan Kol Redzuan. (tak boleh tulis lebih-lebih kat sini).

Di bawah diperturunkan antara petikan berita mengenai peristiwa itu daripada Utusan Malaysia.


Lelaki maut bom meletup di Pulada
Oleh HASNURUL MOHAMED
JOHOR BAHRU 30 Julai – Seorang pemotong rumput, Rashidi Saad, 40, maut apabila pisau mesin rumputnya terkena bahan letupan lalu meledak di Lapang Sasar, Kem Pusat Latihan Tentera Darat (Pulada), Ulu Tiram dekat sini hari ini.

Kejadian berlaku pada pukul 11.30 pagi ini ketika mangsa dikatakan menjalankan tugas memotong rumput di kawasan itu.

Letupan yang dipercayai daripada bom antikereta kebal itu menyebabkan mangsa mengalami kecederaan parah di kaki, perut dan muka.

Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mokhtar Mohd. Sharif berkata, polis menerima satu panggilan daripada seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) Kem Pulada Ulu Tiram yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.

“Panggilan itu memaklumkan satu kemalangan berlaku di kem itu dan ia melibatkan seorang pekerja awam pemotong rumput,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan (JBS) di sini hari ini.

Mokhtar berkata, menurut aduan yang diterima, semasa mangsa memotong rumput berlaku satu letupan yang menyebabkan kematiannya.

Bagaimanapun, beliau tidak dapat mengulas lanjut sama ada letupan berpunca daripada ledakan bom, periuk api atau peluru.

“Kita akan menyiasat perkara ini dan saya telah mengarahkan Timbalan Ketua Siasatan Jenayah 1, Che Yussof mengetuai pasukan penyiasat yang akan menyiasat kes ini dari segala aspek,” katanya.

Beliau menambah, siasatan balistik akan diadakan untuk memastikan bagaimana kejadian seumpama itu boleh berlaku dalam sebuah kem tentera.

Mokhtar juga meminta orang ramai supaya menghentikan spekulasi berhubung kejadian tersebut.

Beliau berkata, walaupun mangsa ialah orang awam dan Kem Pulada merupakan kawasan larangan tetapi mangsa mempunyai akses dan mendapat kebenaran untuk berada dalam kawasan berkenaan.

Mangsa yang masih belum berumah tangga bekerja sebagai pemotong rumput di kem tersebut sejak dua tahun lalu.

Alamat terakhir mangsa yang terdapat dalam kad pengenalannya ialah Felda Taib Andak, Kulai.
Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Kota Tinggi (HKT) untuk dibedah siasat

(Posted by 3001654)

No comments: