Wednesday, August 13, 2008

MASRANI SENTIASA BAWA CD KARAOKE DALAM JAKET

Malam itu Brig Jen Masrani baru 'touch down' di Lapangan Terbang Tawau dari Kota Kinabalu ketika saya buat 'call' dari Kem Sri Wangsa, Semporna.

Esoknya di Pulau Si Amil helikopter membawa Masrani dan beberapa pegawai kanan tentera mendarat. Dari jauh di jeti pulau, saya sudah mengenali Masrani yang bermisai putih, macam Kol Hassan Ali (Pengarah GGK) dan Mejar Zaki (juga komando).

Beliau memperkenalkan saya kepada bosnya, Mej Jen Dato' Mazelan Kasap (Panglima 1 Divisyen). Orangnya nampak 'humble', jauh berbeza berbanding PTD yang 'hilang mood' apabila menyedari seluar lorengnya singkat sebelah. Nasib baik Brig Jen Sheikh Mohsen Sheikh Hassan (Panglima ATB2) mengingatkannya.

Saya tidak dapat berbual panjang dengan Masrani kerana ruang jeti yang menempatkan VVIP termasuk Datuk Seri Najib, kecil. Masrani pula perlu sentiasa bersama bosnya dan pegawai kanan lain menunggu ketibaan TPM, Ketua Menteri Sabah dan PAT serta KPN (IGP). Saya juga perlu bersama Editor Kanan yang lain di satu sudut bersebelahan ruang itu.


Pada program lain di pulau sebelah iaitu Pulau Danawan, saya bertemu dengan Masrani sekali lagi. Kami mula berkesempatan berbual panjang dan mengambil foto dengan Fadzlette.

Sebenarnya Masrani begitu teringin untuk menyumbangkan entri di blog ini, tetapi masa tidak mengizinkan. Menurut Fadzlette, Masrani juga mahu menghantar foto terkininya di blog ini selepas blog Regular 21 ini banyak sangat memaparkan foto Let. Itu juga tidak menjadi.

Malam hari itu, saya dan Let berkesempatan berbual panjang dengan Masrani selepas VVIP lain beredar daripada Jamuan Malam untuk pergi memancing. Saya dan rakan Editor Kanan lain menolak menyertai acara memancing bersama TPM dan VVIP lain kerana mahu berehat.

Setelah menghantar bosnya bersama-sama TPM ke jeti memancing, Masrani kembali menyertai saya, setelah saya hantarkannya SMS mengingatkan malam masih muda.

Malam itu rupa-rupanya Masrani sudah 'standby' satu CD lagu Ramli Sarip - "Bukan Kerana Nama" di dalam poket jaketnya. Itulah langkah persediaan Masrani setiap kali menghadiri sesuatu majlis jamuan. Kot-kot jadi bidan terjun, dipaksa menyanyi!

Saya yang mengetahui rahsia itu membisikannya kepada Fadzlette untuk memaksa Masrani mendendangkan lagu itu dalam sesi Karaoke. Tapi saya kecewa kerana CD yang dibawa Masrani tidak boleh digunakan kerana semua lagu sudah diprogramkan.

Fadzlette juga turut mendesak saya menyanyi. Kerana saya tahu Let tak akan menyanyi, saya memberikannya syarat mudah - berduet dengannya! Bagaimanapun akhirnya saya mengalah, dan memberikannya lagi Broery - "Bila Bulan Bicara', walaupun saya sendiri bukan biasa dengan lagu itu.

Nasib saya juga baik, tiada lagu itu dalam senarai. Walaupun suara agak sumbang, tetapi kerana mahu menghiburkan Masrani dan Fadzlette serta 'dedicate' lagu itu kepada mereka, saya akhirnya memilih lagu P.Ramlee - "Bila Larut Malam" - kerana waktu itu memang sudah larut malam.



Banyak perkara kami bertiga bualkan. Antaranya beban kerja, profesionalism, semangat bangsa, cerita-cerita mengenai skot serta pengalaman Masrani menghadiri perkahwinan saya di Puchong kira-kira 20 tahun lalu.

Dan antara yang menyentuh hati dan semangat kami bertiga ialah topik membabitkan Raja-Raja Melayu, politik Melayu, korporat Melayu dan Askar Melayu.

Setelah 'larut malam', saya dan Masrani berjalan beriringan tanpa ditemani sesiapa, membelah malam menyelusuri landasan terbang di Terumbu Layang-Layang pulang ke penginapan di Layang-Layang Island Resort.

Sepanjang perjalanan, banyak juga topik kami bualkan. Sesampainya di Resort, kami bertemu semula kumpulan Datuk Seri Najib yang baru pulang dari memancing.

Datuk Najib menyapa kami, menyatakan tiada apa-apa yang diperolehinya. Esoknya bila TPM menceritakan hal itu kepada rakan media lain, saya menyampuk, 'ikan takut sebab orang yang memancing pakai baju batik", lalu disambut dengan ketawa mereka.


No comments: