Friday, May 9, 2008

KEHIDUPAN SEBAGAI ORANG AWAM - (CORETAN 2)

OLEH : Mej (B) Fauzi Abdullah


MULTIMODAL FREIGHT SDN BHD (Anak syarikat KTMB)

Setelah menamatkan perkhidmatan dalam tentera selama 17 tahun saya memulakan kerjaya sebagai orang awam di syarikat Multimodal Freight Sdn Bhd. Pengerusi syarikat ini ialah juga CO 50 Rejimen Jurutera Pakar Keretapi pada ketika itu.

Multimodal Freight Sdn Bhd adalah syarikat yang bertanggungjawab dalam perkhidmatan pengangkutan Kontena (Lojistik). Mulai Jun 1996, saya menjawat jawatan sebagai Pengurus Sumber Manusia, di Ibupejabat yang beroperasi di Subang Jaya sehingga April, 1997. Syarikat ini mempunyai cawangan di Pelabuhan Kelang, Pasir Gudang, Butterworth, Ipoh,Padang Besar dan di Lapangan Terbang Subang.

Sebelum saya berhenti daripada Multimodal Freight Sdn Bhd, saya telah dimaklumkan oleh skot kita Omda, bahawa sebuah syarikat perkhidmatan kesihatan memerlukan seorang pengurus yang berpengalaman dalam peyelenggaraan fasiliti.

Omda mencadangkan kepada saya untuk memohon jawatan tersebut kerana saya mempunyai pengalaman dalam bidang peyelenggaraan kemudahan fasiliti semasa berkhidmat dalam ATM dahulu. Atas nasihat beliau, saya memohon jawatan tersebut dan terus dipanggil temuduga. Alhamdulillah, permohonan saya diterima. (Sebab tu saya tak boleh lupa sahabat saya sorang ni…!!)


PENGURUS KANAN OPERASI - PANTAI MEDIVEST SDN BHD
(Dahulu dikenali sebagai TONGKAH MEDIVEST SDN BHD)

Saya ditempatkan di Melaka bagi menjawat jawatan sebagai Pengurus Kawasan bagi menjaga perkhidmatan sokongan hospital mulai April, 1997 - 2002.

Pada mulanya saya bertangungjawab menjaga 7 buah hospital iaitu hospital Melaka, Alor Gajah, Jasin, Muar, Segamat dan Tangkak dalam perkhidmatan sokongan hospital. Bertanggungjawab dalam penyelenggaraan kemudahan fasiliti, biomedikal, ‘clinical waste’ dan laundry di hospital. Dalam tahun 1999,saya telah dilantik sebagai Pengurus Kanan Operasi yang bertanggungjawab sepenuhnya dalam perkhidmatan sokongan hospital di semua cawangan 19 buah hospital di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor, termasuk Incinerator Plant & Factory Laundry(Dobi) di Dengkil.

Datuk Mokhzani Mahathir adalah Pengerusi syarikat Pantai Group pada ketika itu. Saya telah melaksanakan tanggungjawab dengan cemerlang dan diberi kepercayaan untuk mewakili Pantai Medivest dalam setiap mesyuarat di Kementerian Kesihatan. Saya rasa satu kepuasan kerana dapat melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Saya amat disenangi oleh pegawai-pegawai Kementerian Kesihatan dan pihak hospital yang juga merupakan pelanggan kami.

Dalam keghairahan saya memberikan yang terbaik kepada pelanggan, adakalanya kita terlupa bahawa kita dicemburui oleh rakan seperjuangan kita. Inilah hakikatnya, kehidupan manusia yang tidak dapat lari daripada hasad dan dengki. Berlaku perkara-perkara yang telah menjejaskan kredibiliti dan reputasi saya sebagai seorang yang disegani dan dihormati dalam organisasi ini.

Saya tidak menyangka bahawa kadangkala pengorbanan kita akhirnya menjadi racun kepada kita. Dalam masa yang sama juga, saya menghadapi situasi yang amat perit dalam kehidupan berkeluarga yang mana pengorbanan saya dalam memberikan yang terbaik kepada keluarga semasa zaman kegemilangan saya tidak dihargai dan saya terpaksa melalui saat-saat getir ini bersendirian, dan pada saat inilah saya telah ditinggalkan bersendirian tanpa sokongan daripada orang yang sepatutnya menjadi penyokong kita.

Saya redha dengan dugaan Allah ini dan akhirnya saya terpaksa berpisah dengan isteri dan 2 orang anak saya. (Omda lah yg banyak memberikan semangat kpd saya kerana dialah satu-satunya sahabat dan saudara saya). Pada tahun 2002 saya mengambil keputusan untuk meninggalkan Pantai Medivest Sdn Bhd dan ingin melupakan peristiwa hitam yang berlaku dalam kerjaya dan kehidupan saya.

59 CORPORATION SDN BHD

Dalam memulakan kebangkitan kerjaya saya inilah, saya telah menghasilkan satu kertas cadangan mengenai pengiklanan luaran untuk Kementerian Pertahanan. Saya telah berbincang dengan Dato’ Ahmad Talib (NST), yang saya kenali dan beliau telah mencadangkan kepada saya untuk membincangkan cadangan ini dengan sebuah syarikat yang terlibat dalam bidang pengiklanan iaitu 59 Corporation Sdn Bhd. Beberapa siri perbincangan telah diadakan dan akhirnya kedua-dua pihak bersetuju dengan syarat-syarat yang telah dikemukakan dan 59 Corporation berjanji akan menyediakan perjanjian ini untuk ditandatangani.

Saya terus menjalankan tugasan saya dengan menghantar Kertas Cadangan “PENAJAAN MENDIRIKAN 300 UNIT BILLBOARD PROFESSION PILIHAN” diseluruh Negara untuk ATM bagi membantu mempromosikan kerjaya ATM, yang bernilai lebihkurang RM 10 juta .

Selang beberapa bulan selepas itu, saya telah dimaklumkan oleh Cawangan Perhubungan Awam (skot kita Lt Kol Fadzelette pada ketika itu), iaitu Kementerian Pertahanan telah bersetuju dengan cadangan ini dan pihak kami dikehendaki membentangkan kepada TKSU Dato’ Azizah Abod di pejabatnya. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan dan perjanjian antara Kementerian Pertahanan dan 59 Corporation Sdn Bhd ditandatangani.

Saya dengan beberapa pengurus lain telah turun padang untuk mengenalpasti lokasi-lokasi untuk mendirikan Billboard di bandar-bandar utama yang menjadi kumpulan sasaran untuk mempromosikan ATM. Dalam keghairahan untuk melaksanakan projek ini, timbul rasa tamak daripada pihak 59 Corporation Sdn Bhd dan mereka ingin meminda perjanjian antara saya dan 59 Corporation, walaupun pada dasarnya telah dipersetujui. Saya tidak berpuashati dan rasa tertipu dengan tindakan syarikat ini.

Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk meninggalkan syarikat ini dan menubuhkan syarikat sendiri, EXTREME EFFECT SDN BHD. (Saya pun tak tahu mengenai kemajuan projek ini sehingga kini…mungkin Kol Let tau kut!!)

Contoh Billboard Promosi ATM yang didirikan di Ipoh,simpang ke Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah.



SYARIKAT EXTREME EFFECT SDN. BHD.

Dengan berbekalkan pengalaman yang ada, saya telah memulakan perniagaan sendiri sebagai Pengarah Urusan syarikat Extreme Effect Sdn Bhd, mulai tahun 2002 sehingga sekarang. Pada tahun 2004 saya telah mendapat suntikan semangat dan modal daripada rakan kongsi baru dalam syarikat saya dan kini beliau juga menjadi isteri saya sekarang ini. Syarikat ini terlibat dalam bidang pengiklanan luaran, penyelenggaraan fasiliti, publikasi dan pembekalan. Projek terbesar yang dibuat ialah MENDIRIKAN PAPAN TANDA PRODUK PELANCONGAN DI SELURUH MALAYSIA pada tahun 2004.

Cadangan saya telah mendapat persetujuan daripada Kementerian Pelancongan, melalui pejabat Timbalan Menteri Pelancongan pada ketika itu Dato’ Ahmad Zahid Hamidi. Beberapa siri mesyuarat telah diadakan dan syarikat saya Extreme Effect Sdn Bhd telah dilantik untuk melaksanakan projek ini selama 5 tahun.

Walaupun pada dasarnya projek ini telah diluluskan oleh Kementerian Pelancongan, tetapi masalah utama yang saya hadapi ialah kerenah birokrasi diperingkat agensi-agensi yang terlibat seperti JKR, PBT, dan Majlis Tindakan Pelancongan Negeri-Negeri.

Saya terpaksa menghadapi berbagai-bagai kerenah birokrasi dan saya terpaksa menunggu bertahun-tahun untuk memulakan projek ini. Kerana komitmen saya kepada Kementerian Pelancongan, saya telah mendirikan juga papan tanda ini sebagai pilot projek di Langkawi, Nilai, Port Dickson, Perak dan Pulau Pinang walaupun kelulusan belum diperolehi daripada agensi-agensi ini.

Akhirnya, saya terpaksa melupakan projek ini kerana syarikat saya mengalami masalah kewangan dan kerugian hampir RM 300 ribu, akibat kerenah birokrasi ini. (Sorry la Lokman banyak dugaan..!!)

Contoh Papan Tanda Arah Produk Pelancongan :

Langkawi


Port Dickson


P.Pinang


Lenggong, Perak



Kini, saya terpaksa menumpukan perniagaan saya dalam bidang penyelenggaraan fasiliti dan pembekalan bahan bacaan. Insyaallah, dalam tahun 2008 ini, sekiranya ada rezeki, perniagaan saya akan kembali seperti sediakala.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada skot-skot kita yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam perlaksanaan projek-projek di atas.

Terima kasih, Lokman.

4 comments:

Anonymous said...

fauzi,bila baca kisah ni aku pun tumpang sedih juga ni.jatuh bangun dlm perniagaan demo dah rasa.walaubagaimanapun teruskanlah usaha demo tu.perniagaan baru demo tu diharap berjaya.kalau hal2 papan tanda ni aku teringat la dgn mej nafiah ngan mej shahruddin.dia org ni pakar dlm bidang tsb.x pa kalu hati ada susah kita pi la jumpa rani pekena sekole dua.atau kita jumpa dgn omda pekena selagu dua.atau pun kita pi jumpa fuad pekena sebungkus dua panas punya siap teh tarik lagi.atau kalu x nak pening langsung terus kita pi jumpa duan pi tanjung rambutan terus.from razali1646.

Anonymous said...

Zali,trima kasih la kawan...teringat pulak text line shahrudin mp. Nanti la kalau saya ke KL saya call la u all boleh pekena teh tarik sekole dua...kalau saya tak sampai2 tlg tanya la reduan kut2 saya ada ngan dia..!! fauzi1679

mizykadir said...

Askum skot 1679, cerita u memang wajar jadi pengajaran buat kami yg masih berkhidmat dan 5 ke 6 tahun lagi nak pencen. Harap pencen, mgkn x cukup jadi kena buat kerja lain lak.Story u akan jadi panduan. Wasalam.

Anonymous said...

Waalaikumsalam skot,terima kasih kerana memberi sokongan,sebenarnya itulah lumrah dlm dunia biz ni..mesti ada jatuh bangun,yg penting mesti berani menempuh segala cabaran mendatang..life must go on!! "I HAVE MANY GOOD MEMORIES, I HAVE HAD A FULL LIFE SEEN AND DONE MANY THINGS, I'M PROUD OF WHAT I HAVE DONE,BECAUSE I DID MY WAY"...!!